Friday, October 24, 2014

Hikmah Disebalik Maal Hijrah


  "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah."

Tanggal 1 Muharram merupakan detik yang bersejarah buat umat Islam keseluruhannya. Tarikh tersebut merupakan hari pertama dalam perkiraan tahun hijrah buat umat Islam. Menyingkap kembali sejarah peristiwa hijrah Rasul dan para sahabat, terkandung di dalamnya pengajaran yang sangat mulia. Peristiwa ini juga telah menyaksikan pengorbanan para sahabat yang cinta mereka tidak berbelah bahagi terhadap Rasulullah SAW.

Antaranya keberanian Saidina Ali r.a yang sanggup menggantikan Rasullullah SAW di tempat tidur baginda walaupun pada ketika itu orang-orang kafir Quraisy sedang berkawal di luar rumah bagi menangkap Rasullah SAW. Kesanggupan Saidina Ali menempa maut di tangan orang kafir Quraisy dengan menggantikan Rasullullah di tempat tidur baginda bagi menjayakan perancangan hijrah Rasulullah SAW menjadi bukti kecintaan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah.

Peristiwa pengorbanan Saidina Ali ini merupakan secebis daripada peristiwa pengorbanan para sahabat. Banyak lagi kisah pengorbananan yang telah dilakukan oleh para sahabat demi Rasulullah yang tercinta. Begitulah para sahabat nabi yang cinta mereka bukan sekadar bermain di bibir bahkan dibuktikan melalui perbuatan dan tindakan mereka.

Berbicara tentang Hijrah Rasul, sebenarnya kita sedang membicarakan tentang sejarah. Apabila berbicara tentang sejarah, kita harus sedar bahawa sejarah sebenarnya merupakan bicara Allah kepada hamba-hambanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu disedari melalui mata hati. Dengan erti kata lain peristiwa hijrah ini mengandungi hikmah yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya. Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara secara sia-sia.

Persoalan ini harus kita rungkaikan supaya hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dapat difahami dan dihayati. Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh
Allah. (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hijrah bermaksud meninggalkan larangan Allah

- Jika hari ini kita suka mengumpat, mulai sekarang tinggalkan amalan buruk itu
- Jika hari ini kita sering tinggalkan solat, mulai sekrang pastikan solat 5 waktu sempurna
- Jika hari ini kita mencari rezeki yang haram dan syubhah, mulai sekarang carilah rezeki yang halal
- Jika hari ini kita membutakan hati dari kebenaran, mulai sekrang buka kan hati seluas luasnya bagi menerima nur hidayah Allah
- Jika hari ini kita derhaka kepada ibu bapa dan suami, mulai sekarang jadi lah anak yg soleh, solehah dan isteri yang baik
- Jika hari ini kita membantu Yahudi untuk memusnahkan Palestine terutamanya, tinggalkan amalan itu, orang yg bersekongkol dgn kaum tersebut adalah dari kaum tersebut (hadis)

Dan Pelbagai lagi bentuk Hijrah yang perlu kita jihadkan.

Sesungguhnya Hirah tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa jihad, perpaduan dan kecintaan terhadap Allah. Apa maknanya kita menyambut sambutan Maal Hijrah jika kita semakin jauh dengan Islam? Apakah ertinya kita menghayati sambutan Maal Hijrah. jika jihad masih disalah anggap dan menjadi satu istilah yang amat menakutkan. Apalah gunanya sambutan Maal Hijrah yang kita sambut jika perubahan yang ada hanyalah menunjukkan umat Islam bertambah lemah.

Selamat Beramal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...