Monday, September 16, 2013

2 DOSA BESAR yang mendapat PEMBALASAN SEJAK DI DUNIA

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah bermaksud: “Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa balasan kepada kedua-dua maksiat tersebut di atas akan mendapat balasannya sejak di dunia ini sebelum azab yang lebih dahsyat akan diterimanya di hari akhirat nanti.

Dua dosa besar iaitu melakukan zina dan menderhaka kepada dua orang tua adalah perbuatan dosa besar yang tidak ditangguhkan Allah hingga hari kiamat. 

PERTAMA: KEJAHATAN ZINA


Dalam sebuah hadis, baginda s.a.w. ada bersabda maksudnya : "Wahai orang yang beriman, takutilah kamu akan zina, kerana akibat daripadanya ada enam perkara, tiga di dunia dan tiga lagi akan berlaku di akhirat.

Ada pun yang berlaku di dunia ialah :
1. Kehilangan keceriaan wajah,
2. Pendek umur dan
3. Sentiasa dalam keadaan susah.

Manakala tiga balasan di akhirat ialah :
1. Kemurkaan Allah,
2. Balasan yang buruk, juga
3. Azab di Neraka. 

Dalam sebuah hadis lain, riwayat Al-Hakim, baginda bersabda maksudnya :  "Barangsiapa berzina ataupun minum arak, Allah cabutkan daripadanya iman, seumpama manusia menanggalkan pakaian daripada kepalanya."

Hadis-hadis di atas dan juga hadis-hadis lain menyatakan bahawa seorang hamba yang melakukan zina, imannya telah keluar daripada dirinya.

Dalam riwayat hadis Nabi s.a.w menceritakan kisah dizaman Bani Israel terdapat seorang lelaki yang telah beribadah selama 60 tahun penuh apabila dia melakukan zina dan mati sebelum bertaubat, apabila ditimbang amalannya yang 60 tahun masih itu berbanding dengan dosa zina yang pernah dia kerjakan maka dosa zina itu lebih berat.

Allah berfirman maksudnya : "Mereka yang tidak menyembah Tuhan yang lain selain Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian, nescaya dia mendapat balasan dosanya, akan digandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu dalam keadaan hina, kecuali mereka yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amalan soleh, kejahatan mereka diganti oleh Allah dengan kebajikan. Allah maha pengampun lagi maha penyayang."(Surah al- Furqan ayat 68-70).

Bukan sahaja perbuatan zina itu larangan Allah, bahkan berjinak-jinak dengan punca-punca terjadinya zina juga dilarang. Firman Allah s.w.t maksudnya : "Jangan kamu hampiri perbuatan zina kerana ia adalah kejahatan yang sangat keji dan sejahat-jahat jalan."(Surah Al-Isra’ ayat 32)

Imam Ahmad mengatakan:
”Aku tidak tahu ada dosa yang lebih besar setelah membunuh jiwa daripada zina.”

Kepapaan boleh berlaku kerana perbuatan zina menyebabkan lahirnya anak zina yang tiada hak untuk mendapat harta pusaka.

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya :  ”Yang paling banyak menjerumuskan manusia ke dalam Neraka adalah mulut dan kemaluan.” (Riwayat Tirmizi)

Ibnu Mas’ud r.a berkata: ”Tidaklah muncul riba dan zina pada suatu daerah kecuali Allah akan mengizinkan kehancurannya.”

Akibat daripada berleluasanya zina maka lahir penyakit berjangkit AIDs, Siplis dan kerosakan akhlak dalam masyarakat. Ia menimbulkan pecah belah keluarga dan krisis rumah tangga. Dan kerosakan keturunan manusia dengan lahirnya anak tak sah taraf (anak luar nikah).  Kesemua ini menyebabkan keruntuhan budaya dan tamadun hidup manusia. Apabila berlaku demikian, hati tertutup untuk menerima  taufiq dan hidayah daripada Allah s.a.w. Memohonlah keampunan daripada Allah s.w.t. atas segala kemungkaran yang telah dilakukan dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha).

Sabda Nabi s.a.w lagi maksudnya : “Tidak ada sebarang dosa yang lebih besar selepas syirik selain daripada setitik air mani yang ditumpahkan oleh seseorang ke dalam rahim yang tidak halal baginya”.

Sebuah lagi hadis maksudnya : “ Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi mengutuk orang yang berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam Neraka dapat mengganggu ahli Neraka kerana sangat busuknya. ”

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, (kerana) sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan membawa kerosakkan." (Surah Al-Israk ayat 32)

Berdasarkan ayat ini apa sahaja perbuatan yang boleh membawa kepada gejala zina seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, membaca buku-buku dan majalah lucah, melawati laman-laman web lucah serta menonton VCD / DVD yang membangkitkan selera syahwat hukumnya adalah haram.

Sahabat,
Marilah kita jauhi dan cuba membaiki masyarakat kita supaya gejala sosial yang parah seperti berzina ini tidak berlaku. Semua pihak samaada ibu bapa, guru-guru, jabatan agama Islam, jemaah Islam, persatuan bukan kerajaan (Islam), pihak penguasa polis , Rela,  majlis perbandaran dan ahli jawatan kuasa masjid hendaklah bersatu tenaga menyekat dan menghalang Zina  berlaku dimerata tempat. Tuan boleh saya Tanya…Dimana kita lemparkan HUDUD Allah ??? Apakah tangan tangan kita telah memilih HUDUD Allah tdk dilaksanakan dibumi ini.

KEDUA: KEJAHATAN MENDERHAKA KEPADA KEDUA IBU BAPA


Islam meletakkan kewajipan terhadap setiap anak agar mentaati ibu dan bapa. Perintah itu bukan setakat meletakkan seseorang anak melakukan kebaikan, tetapi sebagai bukti keimanan dan ketaqwaan. Sesiapa yang menderhaka terhadap ibu bapanya bakal menjerumuskan dirinya ke dalam api Neraka.

Firman Allah bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa.” (Surah al-Ahqaaf, ayat 15)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapamu, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga sama ada yang dekat atau yang jauh, rakan karib dan ibnu sabil, serta hamba sahaya.”
(Surah an-Nisa, ayat 36)

Jelas, betapa pentingnya setiap anak menghormati ibu bapanya. Sesiapa yang derhaka terhadap ibu bapanya, maka Allah memberi balasan azab di dunia lagi.

Rasulullah menjelaskan orang yang tidak menghormati orang tua sebagai bukan daripada golongan Muslim. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.”
(Hadis riwayat Tabrani).

Hadis itu menjelaskan ‘tidak menghormati orang tua’ sudah dianggap bukan daripada golongan Muslim. Apa lagi jika tidak menghormati orang tua yang menjadi ibu bapa sendiri. Kini menular gejala anak menganggap satu beban terpaksa menjaga atau melayan kerenah ibu bapa atau salah seorangnya. Tidak kurang juga kes anak menjadikan ibu atau bapa tidak ubah seperti orang gaji.

Menyakiti hati ibu bapa satu dosa besar. Apatah lagi dalam kes yang mana anak melakukan perbuatan yang mencederakan fizikal ibu bapa. Undang-undang manusia juga melarang sebarang perbuatan mencederakan fizikal terhadap seseorang. Hukuman daripada Allah tentulah lagi besar menanti di akhirat.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat berkat dalam kehidupan. Perhatikan nasib mereka yang membelakangi ibu bapa dalam kehidupan. Biarpun, secara luaran nampak ceria dan berjaya, hakikatnya mereka dalam pembalasan daripada Allah.

Pelbagai bentuk pembalasan daripada Allah diperlihatkan kepada anak derhaka. Kemelut kehidupan yang dihadapi kebanyakan manusia sekarang berpunca daripada menderhaka kepada ibu bapa.

Allah bukan saja melarang melakukan perbuatan yang secara nyata menyakiti hati dan fizikal ibu bapa, bahkan menyebut perkataan ‘kasar’ juga ditegah. Allah memerintahkan agar anak bercakap dengan bahasa yang baik dengan ibu bapa.

Firman Allah bermaksud: “Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.”
(Surah al-Isra, ayat 23).

Kewajipan anak terhadap ibu bapa berterusan biarpun ibu bapa sudah lama meninggal dunia. Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud:
“Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang memiliki anak yang soleh yang memberikan balasan kebaikan kepadanya biarpun sesudah meninggal dunia. Anak soleh adalah kebaikan yang tidak putus-putus pahalanya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang salih yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya.” (Hadis riwayat Muslim).

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a., bahawa sesungguhnya Rasullullah SAW bersabda: “Sesungguhnya diantara dosa-dosa besar ialah seseorang itu melaknat (mencaci maki) kedua-dua orang tuanya (ibu bapanya),” lantas ditanyakan kepada baginda: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang boleh melaknat (mencaci maki) ibu bapanya sendiri?”.

Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Seseorang melaknat (mencaci maki) ibu atau bapa orang lain (kerana sebab-sebab tertentu), maka orang tersebut membalas cacian itu dengan mencaci maki (melaknat) ibu bapa yang mencacinya”.

Berdasarkan kepada hadis tersebut juga maka dapat disimpulkan bahawa Islam bukan sahaja menjadikan perbuatan menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar, malah perbuatan mencaci maki, laknat melaknat yang menbabitkan ibu bapa juga dikategorikan sebagai dosa besar.Sesorang mungkin tidak menyedari bahawa dengan mencaci maki ibu bapa orang lain juga dikira seolah-olah mencaci ibu bapa sendiri


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredhan), maka sesungguhnya ia membuat redha Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah”
(Hadis riyawat Imam Bukhari )

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“ Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”
(Hadis riwayat Anas bin Malik)

Sahabat yang dikasihi,

Banyak kita mendengar kisah-kisah benar berlaku apabila seseorang menderhaka kepada kedua ibu bapanya maka balasannya akan diterima di dunia lagi secara tunai. Kisah seorang sahabat Nabi s.a.w bernama 'Alaqamah telah menyakiti hati ibunya bila di saat dia nazak dia tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah hinggalah ibunya memaafkannya barulah dia boleh mengucapkan kalimah syahadah.

Tidak kurang juga Kisah Anak Soleh, yang mendapat keistimewaan disisi Allah sejak diatas Dunia lagi. Spertinya Kisah Uwais Al-Qarni, Anak Soleh yang diangkat menjadi penduduk langit, para wali, malah Rasulullah S.A.W memerintahkan Umar dan Ali, jika berjumpa Uwais Al-Qarni mohon lah istifar dan doa darinya. Kisah Anak Soleh yg tinggal di Istana dlm Laut pada Zaman Nabi Sulaiman dan Kisah anak Soleh yg menjaga Kedua ibu bapanya yg berubah bentuk menjadi babi, yg dijanji Allah menjadi tetangga Nabi Musa di syurga.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...